CERPEN : LARA SUKMA PERINDU

Lesu bibir menyebut suatu nama. Tatkala unggas berterbangan membelah ruang angkasa. Bayu meniup sepi merentas jelapang padi bagai menyeru Wardah. Wardah mengetap bibirnya beberapa kali. Jari jemarinya bertindih, saling menggenggam erat. Kali ini, dia benar-benar terhimpit. Jiwanya resah menanti badai yang kian mampir. Hatinya galau... Makin tenggelam dalam kekalutan emosi. Sejurus, air matanya bergenang. " Irfan...", perlahan-lahan nama itu meniti di bibir Wardah. Detik itu masih terbayang di ruang mata. Jelas, waktu itu teramat pedih. Rupa-rupanya, lambaian Irfan pada pagi tersebut meninggalkan rona luka dalam hidupnya.

" Kak Dah, adik dah nak bertolak ni...", ujar Irfan, sambil menyeka rambutnya ke belakang. Sejurus, Wardah menoleh. Dia hanya tersenyum melihat adiknya yang bongsu itu. Tangannya segera mencapai lengan Irfan, lalu menarik Irfan mendekatinya. " Wah, kacak adik akak hari ni... Macam nak jumpa buah hati saja", usik Wardah, sambil membetulkan baju adiknya. Irfan mengerutkan dahinya. Wardah tersenyum mengejek. "Ah, kakak ni, ada-ada sahaja. Mana ada...", ujar Irfan lantas mahu mencubit lengan Wardah. Wardah mengelak, lantas kedua-duanya ketawa. Bagi mereka, itulah kehidupan. Hakikatnya mereka tidak pernah mengenal erti dunia yang penuh dengan tipu daya manusia. Sudah tertulis, takdir mereka untuk menempuh ranjau dunia tanpa ibu dan bapa. Kadang-kadang, Irfan bertanyakan perihal orang tua mereka kepada Wardah, namun soalannya tidak berjawab. Wardah hanya diam seribu kata. Seketika, air mata Wardah pasti tumpah. Katanya, " Sudah suratan dik... Allah lebih sayangkan mereka...".

10.45 pagi, teratak usang...

Wardah menyeka sisa air matanya. Dia perlu tabah, Irfan pasti mahu dia bangkit mengejar cita-cita. Ya! Itu yang Irfan mahukan! Wardah sedari pemergian adiknya bukanlah titik noktah segala-gala. Pandangannya dilemparkan ke petak sawah yang menghijau. Padi-padi meliuk lentuk ditiup angin desa. Suasana indah namun tidak dapat menggamit hati Wardah yang gundah gulana. Dia nekad! walau apapun yang terjadi, dia pasti mencari puncanya. Itu adalah suatu kepastian!

Keluhan dilepaskan beberapa kali. Pagi itu, dia bercadang meneruskan rutin hariannya seperti biasa. Biarlah kenangan bersama Irfan menjadi lipatan sejarah dalam hidupnya. Hidup mesti diteruskan. Usianya yang baru menganjak 20 tahun telah banyak mengajarnya erti kedewasaan. Sejurus mengenakan baju kurung dan selendang, Wardah melangkah keluar dari rumah. Dia mahu segera bertemu Sakinah.

Seketika, kakinya melangkah ke arah sebuah rumah kampung tepian sawah. Rumahnya tidaklah sebegitu besar. Sederhana sahaja, namun kalau dibandingkan dengan teratak kepunyaannya, pasti rumah di hadapannya jauh lebih besar dan selesa. “ Assalamualaikum, Kinah! Aku ni, Wardah!”, jerit Wardah , melemparkan pandangan ke sekeliling rumah. Suasana sunyi. Cuma, kadangkala kesunyian itu diselang seli dengan kicauan burung. Wardah ikut terhibur dengan keindahan suasana. Sekarang, barulah hatinya semakin riang. Semakin tabah menghadapi hari mendatang. Selang beberapa minit kemudian, Sakinah muncul di muka pintu. Gadis bermuka tirus itu tersenyum memandangnya. “ Waalaikumussalam, Dah! Masuklah dulu. Ada sesuatu yang aku nak tunjukkan kepada engkau”.

Wardah melangkah merapati Sakinah. Kemudian, keduanya bersalaman sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. “ Mak kau mana Kinah? Sunyi je…”, tanya Wardah. Matanya melilau mencari susuk tubuh Hajah Zaiton. Namun, tidak juga kelihatan. “ Mak aku ziarah saudara kat Taiping. Petang nanti baliklah. Marilah, aku buatkan air. Kau nak air apa?”, balas Sakinah, sambil berlalu mendapatkan teko yang tertiarap di atas kabinet dapur. “ Eh, tak payah susah-susah, tapi, kalau nak hidang pun apa salahnya, hehehe… Air apa kau tanya aku? Macam tak biasa pula… Mestilah…”, belum sempat Wardah menghabiskan kata-katanya, Sakinah terlebih dahulu memotong, “ Nescafe campur Milo, Neslo!”. Serentak, dua serangkai ketawa.

Pukul 3.00 petang, Kilang Gee Han…
“ Nagen, kau dah kira stok barang kita? Macam mana? Ada yang kurang?”, ujar Ah Seng. Lelaki berbangsa Cina yang berumur 30-an itu berdiri tegak sambil mencatatkan sesuatu pada buku panjangnya. “ Sudah Seng, dah lama aku kira. Setakat ni, semua dalam keadaan lancar. Cuma, kita semakin kekurangan pekerja”, balas Nagentiran, lelaki India yang kelihatan masih mentah, sekitar umur 20-an . Ah Seng melepaskan keluhan panjang. Masalah tersebut semakin berlarutan. Banyak pekerja yang meminta diberhentikan atas alasan mereka khuatir nasib yang sama akan menimpa mereka, sebagaimana sepasang suami isteri yang mati di kilang tersebut beberapa bulan yang lalu. Sebelum ini juga, seorang gadis Indonesia telah mati dalam keadaan yang mengerikan. Namun, kejadian tersebut tidak berlaku di dalam kilang, sebaliknya di belakang kawasan tersebut berhampiran semak berdekatan hutan. Pihak polis yang menyiasat kes terbabit, mempercayai bahawa kematian si gadis tidak ada kena mengena dengan kematian suami isteri tersebut.

Si gadis mati atas alasan dia mempunyai masalah peribadi dengan suaminya, sehingga menyebabkan dia dikelar dan ditikam beberapa kali sehingga tubuh mangsa hampir hancur. Suspek telah ditahan dan telah menerima hukuman yang setimpal. Manakala, kes suami isteri tersebut masih lagi tidak diketahui puncanya. Pihak polis sedang menyiasat dan mengupah firma penyiasatan untuk menyelidiki kes tersebut dengan lebih terperinci. Bukannya apa, semua itu perlu dilaksanakan agar penjenayah terbabit dapat diberkas secepat mungkin.

“ Seng, Seng! Kenapa kau ni? Termenung saja dari tadi”, ujar Nagen, sambil memaut lengan Ah Seng. Ah Seng sedikit terkejut. Matanya tunak memandang Nagen. Huh, sudah jauh dia mengelamun sendirian. “ Oh, tidak ada apa-apalah Nagen, cuma aku risau, perniagaan nenek moyang aku ni, tak dapat bertahan lama. Aku risau lama-lama, kilang ni terpaksa gulung tikar”, keluh Ah Seng, serius. Nagen tidak membalas. Seperti dapat memahami gelodak yang memagari jiwa sahabatnya itu. Walaupun Nagen jauh lebih muda, namun dia tampak dewasa dan matang. Sudah tiga tahun dia bekerja dengan Ah Seng. Walaupun perkenalan mereka baru merangkak ke tiga tahun, namun, kedua-duanya mudah memahami antara satu sama lain. “ Janganlah kau cakap begitu, Seng. Aku percaya, lama-kelamaan, mereka akan lupa peristiwa itu. Dah la, jangan diungkitkan lagi”, kali ini, Nagen memainkan peranan sebagai sahabat. Dia cuba meredakan kerisauan Ah Seng, walaupun dia menyedari beban yang dipikul sahabatnya itu bukanlah sebesar zarah.

Hari merangkak senja, teratak usang…
Wardah meraup wajahnya beberapa kali. Kedinginan malam tidak mampu menyejukkan hatinya yang panas membakar. Pulang sahaja dari rumah Sakinah petang tadi, hatinya mula tidak senang. Pertemuannya dengan Ramli dan Bakar amat memedihkan. Ramli dan Bakar, dua sahabat yang sering mengganggunya saban hari. Pantang berselisih, ada sahaja yang diusik. Kalau boleh, mahu sahaja dia memenggal leher kedua-dua lelaki tidak berguna itu, namun dia masih lagi bertahan. “Ah, budak bedebah itu, usah dilayan, makin menjadi-jadi”, monolog Wardah. Dia bergegas ke dapur mencapai sayur-sayuran yang dibelinya siang tadi. Malam ini, dia bercadang untuk masak sup sayur sahaja. Itu sudah memadai. Namun, adakalanya, hati kecilnya berbisik, “ Kalau ada Irfan, tentu dia suka.. Akak rindukan kau, Irfan…”, tangis Wardah terus dipendam sehingga pipinya basah lagi.

Pukul 10.00 pagi, Balai Polis….

“ Tuan, kami dapati penjenayah menggunakan cara halus untuk membunuh mangsa. Kami percaya, mangsa dibunuh perlahan-lahan, tanpa disedari. Langkahnya diatur dengan cekap dan pantas sehingga tidak meninggalkan kesan. Gayanya seperti seorang yang profesional”, lapor Hifsham kepada seorang pegawai polis di balai tersebut. Hifsham menyatukan kedua-dua telapak tangannya sambil jari ibu tangan kanannya mengusap-ngusap jari ibu sebelah kiri. Pegawai polis berkenaan mencatat setiap butir yang keluar dari mulut Hifsham. “ Sehingga sekarang, masih tiada bukti?”, soalan tersebut terpacul dari mulut Inspektor Syahar. Anak matanya redup memerhatikan Hifsham, anak muda yang berani dan tegas dalam menjalankan penyiasatan.

“ Belum tuan. Namun, kami masih berusaha. Agak sukar bagi kami mengesan cap jari suspek. Saya sudah nyatakan, suspek seorang yang profesional. Kami agak pembunuhnya seorang lelaki. Namun, tidak mustahil juga seorang perempuan. Kekuatan tikamannya agak luar biasa. Besar kemungkinan, lelaki”, terang Hifsham, memulakan teorinya. Tinjauannya mendapati suspek menggunakan objek yang tajam untuk menikam mangsa bertubi-tubi. Kesan tikaman, membuatkan Hifsham berani membuat andaian bahawa objek yang tajam itu dipercayai pisau berukuran 8 inci. Namun, perkara tersebut masih dalam siasatan. Entah benar, entahkan tidak. Persoalan yang sama berulang kali hinggap di kepalanya. Dia masih ragu-ragu sama ada penjenayah seorang lelaki mahupun perempuan. Motif pembunuhan juga belum dapat dikenal pasti. Teori Hifsham hanyalah satu, pembunuhan tersebut mempunyai unsur mahu membalas dendam dan perasaan tidak puas hati serta marah, berdasarkan tikaman yang bertubi-tubi tanpa henti, lebih kurang sebelas tikaman.

Inspektor Syahar menopangkan dagunya. Terlopong sebentar dengan penjelasan Hifsham. Kes tersebut masih menjadi misteri. Sukar untuk mendapatkan bahan bukti, sekaligus menangkap penjenayah terbabit. Dia mengeluh berat. Hela nafasnya panjang. Sepanjang kariernya sebagai anggota polis, kali ini, kesabarannya benar-benar diuji. Sudah hampir lima bulan, dia menyiasat kes tersebut. Namun, banyak persoalan yang belum terjawab. Kali ini, dia benar-benar diduga. Hifsham membiarkan pegawai polis di hadapannya berfikir panjang. Dia juga sedang ligat mencari langkah seterusnya. Dia menggumam sambil menyelak rambutnya ke belakang. Kadangkala, matanya meliar ke siling, seperti mencari-cari kepastian. Dia nekad! Pembunuh yang sebenar harus diberkas segera…

Teratak usang, sirna harapan menjelma…
Wardah mencapai surat yang terletak di atas meja makan. Sudah beberapa kali, surat itu dibaca dan direnung. Nyata, dia masih belum puas. Dia sukar menerima kenyataan. Sesekali, Wardah melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga. Memang saat tersebut yang dinantikan! Dia mahu meneruskan pembelajarannya. “ Ah, apa yang kau risau Dah? Aku kan ada. Lagipun, kau dapat pinjaman. Setakat dua tiga ratus, insyaAllah aku boleh tolong kau. Lagipun, mak aku dah setuju nak tolong kau. Yalah, inilah satu-satunya peluang kau untuk mengubah hidup kau sekarang. Kau bukan ada siapa-siapa Dah. Kau berhak buat keputusan sendiri. Aku harap kau tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran ini”, pujuk Sakinah, panjang lebar.

Wardah menguntum senyuman. Ada benar kata Sakinah, dia perlu sambung belajar. Melalui pemergiannya untuk belajar dan menggenggam ijazah, sudah pasti kesedihan yang merantai hatinya berkurangan. Wajah satu persatu keluarganya melayang di tubir mata. Seketika, wajah Irfan memenuhi ruang mata. Ah! Kenangan tersebut sukar dihapuskan. Tidak! Tidak! Dia tidak akan membiarkan wajah Irfan terus luput dari ingatan. Biarlah kekal bersemadi bersama semangatnya yang baru. Namun, tatkala wajah itu terukir dengan senyuman, hati Wardah terus galau diusik rindu dan sayang. Mana mungkin, dia melupakan wajah yang sering menemaninya. Kala itu, kenangan tersebut diimbau kembali.

“ Kak, Irfan rasa Irfan kena pergi ni, kawan-kawan dah lama tunggu”, lirik mata Irfan pada kakaknya yang sedang membungkuskan makanan. “ Kejap, jangan lupa makan bekalan ni. Irfan, jaga dri tau!”, pesan Wardah, seraya memberikan bungkusan makanan tersebut kepada adiknya. Irfan tersenyum lagi. Dia bergegas menyarung kasut dan mendapatkan basikalnya di bawah rumah. Wardah hanya duduk di atas tangga, menunggu pemergian adiknya ke tepi jalan. Pagi itu, Irfan akan ke kebun bersama rakan-rakannya, Hairi dan Sudin. Tiga serangkai itu sering ke kebun Pak Dolah untuk mengutip hasil tebu dan pisang. Mereka akan menjualkannya kepada peruncit di pekan. Sedikit wang yang diperolehnya akan disimpan untuk hari muka. Kadangkala, Wardah berasa bersalah membiarkan adiknya memerah keringat untuk mencari rezeki, sedangkan Irfan seharusnya belajar sahaja di rumah. Namun, apakan daya, kehidupan yang menghimpit memaksa Irfan bertindak untuk mencari sesuap nasi, meskipun Irfan tidak menidakkan dia mahu hidup senang dan menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran. Irfan, seorang adik yang bertanggungjawab. Meskipun usianya baru mencecah 14 tahun, dia mampu berdikari dan sedikit sebanyak menyara mereka berdua.

“ Kak, Irfan pergi dulu. Jaga diri ya!”

“ Ya, adik! Adik pun sama. Kirim salam pada kawan-kawan dengan Pak Dolah!”

Wardah melambaikan tangannya kepada Irfan. Irfan juga begitu. Senyumannya masih menguntum. Wardah masih di anak tangga. Hatinya tiba-tiba berdegup kencang. Entah kenapa, jiwanya gundah gulana seperti perkara yang buruk bakal berlaku. Seketika, dia memegang dada. Semakin kencang. Wardah mengalihkan pandangan ke jalan yang terletak beberapa puluh meter di hadapan teratak usang. Kelibat Irfan masih di situ. Menunggu jalan lengang sebelum melintas ke seberang jalan. “ Ah, ini tak boleh jadi! Aku mesti halang Irfan secepat mungkin”, monolog Wardah, sambil cermat-cermat menuruni tangga. Sebelum apa-apa terjadi, dia amat berharap dia sempat menghalang Irfan.

Namun, jangkaannya dapat memanggil Irfan semula gagal. Irfan sudah mula mengayuh basikalnya ke tengah jalan apabila secara tiba-tiba, sebuah kereta melanggar tubuhnya. Wardah terkasima. Tubuh adiknya melayang ke bahu jalan. Sejurus, kereta tersebut masih laju lantas mengheretnya beberapa meter ke hadapan. Basikal milik Irfan terpelanting ke dalam semak.

“ Irfan!!! Tidak!!!.....”, air mata Wardah mengalir laju. Surat yang dipegangnya terlepas dari genggaman. Kedua-dua tangannya menutup telinga dengan rapat. Peluh mula memijarkan muka. Air mata Wardah tumpah membasahi pipinya. Bahunya mula terhinggut-hinggut. Menahan sebak yang memenuhi ruang dada. Keperitannya masih jelas terpampang. Beberapa kali, Wardah menghentak-hentakkan kakinya. Delusinya datang lagi. Wardah gagal mengawal emosi….

Pukul 2.00 petang, Kampung Tualang….

Sudah puas Hifsham mencari-cari alamat rumah lama, tempat tinggal sepasang suami isteri tersebut yang dikenali sebagai Mak Rokiah dan Pak Nawab itu. Akhirnya, dia tiba juga di sebuah kampung. Setelah bertanyakan penduduk kampung yang berada di situ, dia tiba di hadapan sebuah rumah tepian sawah. Matanya meliar memandang sekeliling. Tujuannya hanyalah satu, yakni untuk bersua dengan pemilik rumah tersebut sekarang bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Assalamualaikum, tuan rumah, ooo tuan rumah”, jerit Hifsham dari luar rumah. Matanya menjenguk-jenguk ke dalam rumah, melalui tingkap yang terbuka. Dia berlalu pula ke tepi tangga. Dia sedikit terhibur melihat burung merpati di dalam sangkar. Sesekali, Hifsham bersiul, mengacah burung itu. “ Waalaikumussalam. Encik ni siapa?”, sapa Sakinah yang sedari tadi sudah memerhatikan Hifsham dari muka pintu. “ Oh, maafkan saya menganggu cik. Hmm… Boleh saya tahu, cik tinggal di sini dengan siapa?”, Hifsham memulakan soal siasatnya. Telus dan berterus terang. Sakinah termangu seketika. Lelaki tersebut tidak pernah dikenalinya. Belum memperkenalkan diri, sudah bertanya perkara yang tidak sepatutnya. “ Kacak juga lelaki ni, tapi sayang, budi bahasa entah ke mana”, bisik hati kecil Sakinah.

Hifsham sedar gerak gerinya diperhatikan dengan pandangan Sakinah yang ternyata kurang selesa dengan kehadirannya. “ Sekali lagi, maafkan saya. Saya Hifsham, datang dari Segamat, Johor. Saya mahu bertemu dengan Mak Rokiah dan Pak Nawab, mereka ada di rumah?”, tanya Hifsham, sekadar menduga gadis di hadapannya. Sengaja dia berpura-pura tidak tahu tentang kematian suami isteri itu. Dia juga bercadang untuk merahsiakan pekerjaannya. Mudah-mudahan, kerja penyiasatan akan menjadi lebih mudah. “ Oh, begitu.. Maaf encik , kalau boleh saya tahu, apa pertalian encik dengan mereka?”, kali ini, Sakinah pula menduganya. “ Mereka… keluarga angkat saya”, ujar Hifsham, mulai tidak selesa. Gadis tersebut seperti kurang mempercayainya. “ Dengan siapa kau bercakap tu, Kinah?”, tiba-tiba muncul seorang wanita yang sudah berusia di muka pintu. “ Tak adalah mak, ada tetamu datang dari Johor”, jawab Sakinah, tanpa melepaskan pandangan dari Hifsham. Hifsham hanya menyeringai, lantas bersalaman dengan wanita tersebut, layaknya dipanggil mak cik.

“ Laa… buat apa tunggu di luar? Kan panas ni, mari masuk nak…”, pelawa Hajah Zaiton, sambil tersenyum. Hifsham hanya menurut. Sakinah tidak dapat membuang prasangkanya. Siapa lelaki itu? Benarkah dia anak angkat pakcik dengan makcik? Kenapa dia tidak pernah tahu? Sakinah hanya membiarkan pertanyaan tersebut berlalu tanpa jawapan. Kini, Hifsham tetamu mereka. Sebagai tuan rumah, dia harus melayan tetamu dengan sebaiknya. Walau apapun, dia adalah tetamu…

Teratak usang,….
Wardah berasa amat letih. Pagi itu, dia mula mengemas rumah. Semalam, dia gagal mengawal emosi buat kali yang seterusnya. Habis tunggang langgang rumah dibuatnya. Akibat keletihan, Wardah tertidur di atas lantai. Tidur berbantal lengan. Badannya masih lenguh-lenguh. Tangannya terasa sakit dan sengal.Beberapa bulan ini dia sering berperang dengan perasaannya. Wardah juga tidak faham dengan penyakit hati yang menimpa dirinya beberapa bulan yang lalu. Semuanya bermula sejak dia kehilangan Irfan, buah hati kesayangan.

Setelah mengemaskan rumah, Wardah duduk termenung di atas tangga. Petang itu, dia mahu ke rumah Sakinah. Biar ganar di jiwanya hilang bersama-sama tawa dan sendanya bersama sahabat yang paling setia, Sakinah. Lantas, Wardah berlalu mendapatkan borang kemasukan ke IPTA dan bersiap-siap untuk menemui Sakinah. Dia mengenakan bedak pupur di wajah lalu berjalan dengan cermat menuju ke rumah tepian sawah.

Pukul 3.00 petang, perkenalan yang mesra….

“ Kau dah fikir masak-masak? Macam mana? Setuju?”, tanya Sakinah, tanpa berdolak dalik lagi. “ Nah, aku setuju. Tak sabar rasanya nak belajar”, kata Wardah sambil menghulurkan borang yang baru sahaja diisinya. Sakinah ketawa kegembiraan. Akhirnya, dia berjaya memujuk Wardah untuk sambung belajar. Ternyata, usahanya membuahkan hasil. “ Eh, janji tau kau kena tolong aku”, pinta Wardah, tersenyum. “ Mestilah, kau nak harapkan siapa lagi kan?”, usik Sakinah, sambil merangkul lengan rakannya. Wardah hanya terseringai. Bahagia hidupnya bertemankan sahabat yang begitu setia. Awan berarak cerah dan matahari galak menyinarkan sinarnya, seperti semangat Wardah yang makin menyinar kemilau cahaya sirna.

Tawa riang mereka sedang diperhatikan seseorang. Hifsham sedang mengintip dari tirai kamar. Perbualan kedua-dua gadis tersebut bagai mencuit sanubarinya untuk terus mendengar. Dia perlu peka dengan persekitaran. Bukan sahaja untuk mendapatkan maklumat selanjutnya, tetapi juga mahu berkenalan dengan lebih rapat gadis sunti yang berbual dengan Sakinah. Ah! Hatinya sudah terpaut pada gadis itu, entah siapa-siapa. Namun, yang pasti, dia mahu berkenalan dengan gadis tersebut. “ Wardah, aku bancuhkan kau air, kau tunggu di sini ya?”, kata Sakinah. “ Tak payahlah. Neslo pun dah cukup… hehe…”, ujar Wardah, tersengih memaut lengan Sakinah. “ Yalah, aku buatkan. Nanti aku keluarkan kek span yang aku buat. Dah lama kau tak rasa kek aku”, kata Sakinah lantas berlalu meninggalkan Wardah yang duduk di atas tikar mengkuang menghadap sawah yang lapang dan menghijau.

Seketika kemudian, Wardah didatangi seseorang. “ Wardah dah lama kenal Sakinah?”, sapa Hifsham tanpa segan silu. Wardah terpegun seketika. Kaget dengan lelaki yang memandangnya. “ Dah lama, sejak sekolah”, jawab Wardah, berbasa basi. Nyata, dia tidak begitu selesa dengan kehadiran Hifsham. Namun, dia hanya tersenyum. “ Awak ni siapa? Abang Wardah ke? Setahu saya, Wardah tiada abang”, Wardah mengutarakan soalan, kepingin tahu. “ Tak adalah, saya Hifsham. Anak angkat Pak Nawab dan Mak Rokiah, Wardah kenal?”, terang Hifsham. Dia sudah pun melabuhkan punggungnya di tepi Wardah. Tiba-tiba, hati Wardah bagai ditusuk tombak yang maha tajam. Ah! Suami isteri bedebah tu! Riak mukanya berubah. Namun, dia masih mengawal tindak tanduknya. Jangan sampai mereka tahu, Wardah…

Pukul 9.00 malam, hati muda terusik….
Malam ini pasti sukar buat Hifsham untuk melelapkan mata. Selepas menunaikan solat Maghrib sebentar tadi, Hifsham banyak berbincang dengan Hajah Zaiton tentang suami isteri tersebut. Mereka merupakan keluarga terdekat Hajah Zaiton. Kata Hajah Zaiton, sejak mereka meninggal dunia, dia terus berpindah ke rumah ini untuk menjaga rumah peninggalan mereka sementara rumah lamanya telah pun disewakan kepada orang lain. Lagipun, ini memudahkan Sakinah untuk pergi ke sekolah yang terletak tidak jauh dari situ. Hajah Zaiton mahu terus menetap di situ sehingga dia menutup mata.

Dia juga mahu anaknya terus tinggal di rumah itu. Mahu sahaja Hifsham bertanya dengan lebih lanjut mengenai suami isteri tersebut, namun hajatnya termati begitu sahaja apabila Hajah Zaiton mula tersedu sedan, menangis hiba meratapi pemergian mereka. Tambahan pula, kematian mereka bukanlah akibat peredaran masa yang menghambat usia, tetapi suatu pembunuhan yang kejam dan tidak dapat dimaafkan! Sakinah menenangkan emaknya. Hifsham mula terfikir untuk langkah seterusnya esok pagi.

Malam itu, Hifsham rebah di atas katil. Beralaskan telapak tangan, dia terus terbaring sambil otaknya ligat berfikir. Dia mahu menyusun langkah seterusnya dengan lebih bijak. Dia mahu kes tersebut berakhir tidak beberapa lama lagi. Di suatu sudut, Hifsham terbayangkan wajah Wardah. Nur Syufiqa Wardah… nama yang makin terpahat di dalam hatinya. Perkenalannya dengan gadis tersebut, benar-benar membuatkan dirinya berada di awang-awangan. Namun, Hifsham seorang yang amat teliti. Wardah juga salah seorang yang mungkin mengetahui sesuatu mengenai pembunuhan itu. Riak wajah Wardah jelas menggambarkan dia sedang menyembunyikan sesuatu.

Malam semakin pekat. Lama-kelamaan, kelopak mata Hifsham semakin berlabuh. Seketika, dia tertidur bersama angan dan nyata yang hampir memenuhi ruang kepala dan benaknya…

Kilang Gee Han, permulaan baru….
“ Bagus Seng, perniagaan kita dah mula kembali pulih. Tak lama lagi semuanya kembali seperti dulu”, kata Nagen, tersenyum menepuk-nepuk belakang Ah Seng. Ah Seng hanya tersengih puas. Hatinya berbunga ceria. Benar kata Nagentiran, lama-kelamaan mereka akan melupakan peristiwa hitam itu. Pembunuhan yang kejam telah berlaku sehingga meninggalkan impak yang mendalam terhadap perkembangan kilang tersebut. Banyak pekerja mahu berhenti. Ah Seng tahu mereka bimbang kerana penjenayah tersebut masih bebas di luar sana. Dia juga tidak menidakkan, kadangkala dia sendiri dirundung kebimbangan. Bimbang nasib yang sama menimpa dirinya. Kini, semuanya sudah kembali pulih. Mereka dapat menjalankan perniagaan seperti biasa.

Seperti biasa, mereka harus membenarkan pihak polis atau pihak yang berkaitan untuk terus mengawasi dan datang ke kilang tersebut untuk meneruskan siasatan. Mereka sudah terbiasa dengan keadaan itu. Saban hari, Ah Seng menyambut baik kedatangan pihak polis sehingga terjalin rasa persahabatan. “ Nagen, malam ni datang ke rumah aku, aku buat jamuan”, kata Ah Seng, sambil asyik menaip perangkaan syarikatnya. “ Baiklah, kalau tiada apa-apa halangan, malam ni aku datang. Bini kau masak apa Seng?”, tanya Nagen, sambil menyemak fail di almari. “ Eh, apa lagi, mi Guan Hee la! Hahaha”, balas Ah Seng, sambil ketawa terbahak-bahak. “ Tiada makanan lain ke? Dah naik muak makan mi kilang ni”, kata Nagen, turut ketawa. “ Eh, jangan lupa ajak Shifam sekali…”, kata Nagen, teragak-agak. Meledak lagi ketawa Ah Seng, kali ini lebih kuat. “ Hifsham laa… Shifam pulak dah…”. Nagen tersengih-sengih menggaru kepalanya yang tidak gatal. Susah benar nama Hifsham ingin disebutnya.

Pukul 2.30 petang, rumah tepian sawah…

“ Baiklah Seng. Pastikan yang halal tau! Nanti aku pergi rumah kau, melengung sahaja”, kata Hifsham, sempat bergurau di dalam talian telefon. Ah Seng hanya ketawa di dalam telefon. Kemudian, perbualan mereka terhenti di situ. Hifsham bersandar di kerusi malas di dalam kamarnya. Kalau boleh, dia mahu segera pulang ke rumahnya. Namun, Hajah Zaiton melarangnya balik dahulu. Hajah Zaiton mahu dia terus berada di situ sehingga penyiasatan yang dilakukannya berakhir. Semalam, Hifsham telah menceritakan situasi yang sebenar. Hajah Zaiton mahu dia terus menetap di situ. Berkali-kali Hifsham menolak, namun dia tidak berdaya berkata apa-apa. Kehadirannya di situ amat disenangi Hajah Zaiton dan Sakinah. Sekarang, Sakinah sudah mempercayainya. Mereka mula rapat seperti adik beradik walaupun baru beberapa hari Hifsham berada di situ.

Selama beberapa hari Hifsham di rumah itu, dia sudah mula berkawan rapat dengan Wardah. Sakinah juga tidak menghalang perhubungan itu. Dia sekadar memerhati dari jauh. Hatinya terusik dengan kehadiran gadis itu. Wajahnya yang polos dan bersih telah memikat hati lelakinya. Tambahan pula, Wardah sangat lembut dan sopan orangnya. Lagu See You di IPT, sengaja dikuatkan melalui corong radio. Dia tersenyum sendirian. Dilamun cintakah aku? Dia masih muda Sham… kau kena faham, dia perlu belajar. Hati kecilnya memujuk. Hifsham tersenyum lagi. Petang itu, dia mahu mengajak Wardah keluar. Kalau boleh, dia mahu selalu di samping Wardah, gadis yang telah merantai hatinya.

“Astaghfirullahalazaim… apa yang sudah aku lakukan? Aku sudah tersasar dari tujuan sebenar, menjejaki pembunuh yang bertopengkan manusia. Ya Allah, usah Kau biarkan aku hanyut dalam perasaan aku sendiri. Bantu aku Ya Allah”, sempat dia berdoa didalam hati. Dia nekad! Selagi dia belum merungkai kes tersebut, selagi itu, dia akan menyimpan perasaannya untuk Wardah, atau lebih benar buat mana-mana wanita. Dia perlu menyudahkan perkara yang sudah bermula. Soal hati dan perasaan perlu diketepikan. Meskipun, Hifsham sedar, dirinya manusia biasa. Tidak dapat lari daripada persoalan cinta. Kadang-kadang, cinta memerangkap dirinya sehingga lemah dan lupa diri sebagai hamba Allah yang Maha Esa.
Kampung Tualang, suspek semakin hampir…

Niat Hifsham mahu berjalan-jalan sekeliling kampung terhenti apabila terlihat dua anak muda yang berjalan beriringan di tepi jalan. Kedua-duanya lelaki. Namun, lagaknya seperti samseng kampung. Salah seorang sedang menghisap puntung rokok, sambil menyelak rambut yang separas bahu. Seorang lagi kelihatan sedang ketawa berdekah-dekah, memasukkan tangan ke dalam poket. Jelas, gignya rongak. Hifsham mendekati mereka, sengaja mahu menyapa. “ Adik-adik ni dari mana? Seronok benar nampaknya”, sapa Hifsham, mahu mencari jalan memulakan perbualan. Dua anak muda itu kelihatan tenang sahaja. Kedua-duanya berpandangan sinis. “ Hahaha. Kenapa dengan abang ni? Orang nak ‘happy’ pun tak boleh?”, Ramli menjawab, tersengih separuh mengejek. “ Tak adalah, abang tengok korang ‘happy’ je… Sajalah nak tanya…”, Hifsham tersenyum.
“ Abang, Hifsham… datang dari Segamat. Nak cari keluarga angkat abang”
“ Oh, tak tanya pulak. Huh.. Tapi, siapa keluarga angkat abang tu? Manalah tahu, kami kenal”
“ Pak Nawab dengan Mak Rokiah, kenal?”

Diam seketika. Hifsham membiarkan anak muda di hadapannya terdiam, memikirkan helah agaknya. “Bukankah kedua-duanya dah mati? Hahaha… Nak buat macam mana, tak sempatlah abang jumpa mereka ya?”, kata Bakar, selamba. Ramli hanya menyeringai lebar di sebelahnya. Hifsham menggenggam tangannya erat. Mahu sahaja dia memulangkan paku pengeras pada kedua-dua bedebah itu, tetapi sengaja dia menahan amarah. “ Abang tahu tu dik, hmm… adik tahu, kenapa?”, sekali lagi, Hifsham cuba menduga. Ketika itu, petang semakin merangkak senja. Unggas berterbangan pulang ke sarang masing-masing…

Teratak usang, delusi makin menghimpit jiwa…

Selepas menunaikan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah, dia berwirid dan berzikir buat beberapa ketika. Kali ini, dia mahu melepaskan segala yang terbuku di pundaknya. Tidak sanggup lagi dia menahan tangisan kerinduannya terhadap Irfan. Dia banyak kali bermimpi buruk. Mimpi yang datang seringkali mengganggu fikirannya. Tidak!! Aku bukan pembunuh!!

Selang beberapa minit kemudian, dia bangun melipat sejadah dan kain telekungnya. Tanpa disengajakan, bingkai gambar adiknya terjatuh dari almari, lantaran tangannya tertepis bingkai itu. Pecah berderai gambar tersebut menghempap lantai kayu teratak itu. Wardah terkasima. Air jernih mula memenuhi ruang mata. Tangannya menangkup mulut, terketar-ketar duduk menyembah bumi. Air matanya berderai jua. Mengalir laju menggambarkan hati Wardah yang sayu dan hambar. Mata Wardah terpejam rapat. Perlahan-lahan, tangannya mencapai bingkai gambar Irfan yang retak dan pecah. Diusap-usap gambar adiknya, darah mengalir keluar dari jarinya yang luka kerana tertusuk kaca yang pecah. Namun, Wardah tidak mempedulikan itu semua. Kalau boleh, dia mahu memutarkan masa yang berlalu. Biarlah dia yang menjadi galang gantinya. Dia mahu Irfan hidup semula, berada di sisinya selalu. Sukar buat Wardah melepaskan adiknya.

Kali terakhir Wardah memangku adiknya yang terlantar kaku di atas jalan. Irfan tinggal nyawa-nyawa ikan. Darah berlumuran keluar. Muka Irfan hampir hancur terseret sepanjang jalan. Wardah tahu, adiknya hanya menunggu masa. Hanya tangisan dan teriakan Wardah kedengaran memeluk Irfan yang semakin tenat. “ Irfan, akak sayang Irfan”, itu sahaja kata-kata yang terhambur dari mulut Wardah. Irfan meninggal sebelum sempat sampai ke hospital. Sejak hari itu, hidup Wardah tidak menentu. Kerapkali ada suara yang datang menyapa. Dia sendiri tidak tahu menjelaskan perubahan yang berlaku dalam dirinya.

“ Wardah, dengar sini… Kalau kau sayangkan Irfan, kau harus bertindak cepat! Mereka itu pembunuh, pembunuh adik kau! Hahaha! Wardah, Wardah….”, suara yang menyeramkan itu sering menghantui fikirannya. Berkali-kali Wardah cuba melawan perasaannya. “ Pergi kau! Aku tak kenal engkau siapa! Tolonglah, jangan ganggu aku lagi, biarkan aku sendiri”, rintih Wardah. Dirinya gagal melawan emosi. Sejurus, suara misteri itu datang lagi. Cuba mendesaknya berulang kali. Ketika itu, Wardah mula hilang pertimbangan. Dia akan melakukan perkara di luar jangkaan. Sehingga kini, delusi yang dialaminya menyebabkan Wardah hampir hilang akal. Dia semakin hampir dengan ajal dan maut, akibat gagal melawan emosinya yang semakin tidak stabil.

Malam yang hening itu dibuai dengan bunyi cengkerik dan katak di petak sawah. Wardah duduk termenung di atas tangga terataknya. Dalam kesamaran cahaya, hati Wardah dihayun rasa kesepian dan kerinduan. Perlahan-lahan dia membiarkan rambutnya diselak bayu malam. Sesekali, dia menyeka anak rambut. Telapak tangannya digosok beberapa kali sejurus memeluk dirinya sendiri. Kedinginan malam terasa sejuk menggigit tubuhnya. Wardah tidak pernah sedar tindak-tanduk yang dilakukannya saban hari. Saban hari jua, dirinya sudah jauh terbuai dalam angan sendiri. Dia bagaikan sudah lali dengan sikapnya yang mudah melenting dan sering dilanda ketakutan. Dia sendiri mencuba sedaya upaya menganalisis dirinya. Namun, dia gagal menemukan jalan kesudahan. Lama-kelamaan, Wardah terus leka membiarkan dirinya dibayangi watak sampingan selain dirinya. Tatkala itu, dia tidak menyedari bahawa dia sedang berdelusi…

Kilang Gee Han, siasatan masih dijalankan…
Hifsham mengalihkan pandangannya beberapa meter ke hadapan. Sebentar tadi, dia sedang meninjau lokasi pembunuhan sambil menjangkakan sesuatu sebagai teori seterusnya. Kata-kata saksi yang dijumpainya terngiang di telinga, “ Saya nampak mereka terbaring antara satu sama lain. Si isteri di atas si suami. Saya tiba di sini kira-kira pukul 12.30 petang bersama-sama Muhamad. Kami bercadang mahu mencari mereka. Namun, setelah puas saya mencari, saya terdengar bunyi jeritan sebelum saya tiba di situ. Malangnya, mereka sudah mati”. Hifsham mendengus beberapa kali. Semalam, dia sempat bertanyakan ahli forensik mengenai tikaman yang telah dilakukan suspek. Dia mendapati tikaman tersebut datang dari kekuatan yang luar biasa. Dipercayai usus mangsa hancur dan terburai setelah ditikam dengan rakus. Namun, teori Hifsham bahawa pembunuh merupakan seorang yang profesional mungkin benar mahupun tidak. Ada kemungkinan suspek bukan seorang yang profesional, tetapi teliti dalam setiap gerak gerinya. Pembunuh yang cermat! Hifsham membulatkan matanya. Pasti pembunuhan tersebut berlaku sekitar 12.10, sewaktu para pekerja sedang berehat setelah berhempas pulas sejak pagi-pagi lagi. Siasatan menunjukkan tikaman dilakukan ke atas si suami sebelum beralih kepada si isteri.

“ Tuan, nampaknya saya perlu kumpul beberapa bukti lagi untuk memastikan penjenayah yang sebenar benar-benar tertangkap. Saya yakin, kes ini akan berakhir tidak lama lagi”, ujar Hifsham, penuh yakin. “Saya percaya pada awak Sham. Teruskan tugas awak, sementara saya hanya menunggu masa yang sesuai untuk memberkas suspek”, balas Inspektor Syahar, sekadar tersenyum. Hifsham tersenyum hambar. Huh! Hatinya dilanda ganar. Namun, dia tahu, pesalah tidak mengira sesiapa. Walaupun, gadis yang pernah merantai hatinya. Dia harus sentiasa syak dengan sesiapa yang dijumpainya. Kini, dia terpaksa akur. Wardah, suspek utama….

Rumah tepian sawah, Hifsham termangu, memikirkan langkah seterusnya…


Sepasang mata melirik ke jelapang padi yang menghijau. Suasana di Kampung Tualang begitu mengasyikkan dan membuai rasa tenang. Beberapa pesawah sedang sibuk ke bendang membanting tulang empat kerat demi sesuap nasi. Hifsham menghela nafas panjang. Kadang-kadang, manusia ini aneh. Akal yang dikurniakan tidak mampu diurus dengan baik. Seandainya manusia mampu berfikir, peperangan, pembunuhan, penindasan pasti tidak akan berlaku. Jikalau dunia ini terus aman tanpa perlu mengangkat senjata, nescaya tiada tercatat perkataan dan istilah tindas, bunuh, rogol dan sebagainya di dalam mana-mana kamus. Ah! Sudah lumrah, manusia memang begitu. Mudah terhasut dengan bisikan iblis laknatullah. Lagi pula, Allah memang sentiasa menguji hamba-Nya. Dia Maha Mengetahui perkara yang terjadi. Kita sebagai khalifah yang dicipta oleh-Nya perlu menerima setiap cubaan yang menimpa. Sedaya upaya kita cuba mendepaninya….

Pertemuan dengan Ramli dan Bakar terus melekat dalam ingatan. Ternyata, langkah Hifsham untuk berbual lebih lanjut dua anak muda itu membuahkan hasil. Melalui mereka, dia dapat mencungkil rahsia pembunuhan itu sedikit demi sedikit. Mereka merupakan kunci untuk Hifsham memulakan agenda seterusnya. “ Err… mereka mati kena bunuh kan?”, tanya Ramli. “ Ya, abang pun ada dengar berita yang sama. Kalau boleh, abang nak tahu juga, kalau-kalau ada sesiapa yang memusuhi mereka”, balas Hifsham, tunak memandang dua anak muda di hadapannya. Sekali lagi, mereka terdiam. “ Abang, esok, kalau ada masa, saya bawa abang ke suatu tempat”, kata Bakar, memulakan butir bicara. Perlahan-lahan, Hifsham mengangguk, tanda setuju. Pertemuan mereka berakhir di situ. Malam itu, sukar bagi Hifsham untuk melelapkan mata. Ligat otaknya berfikir mentafsirkan kata-kata mereka. Kemanakah dia akan dibawa esoknya? Matanya meliar ke dinding. Jam tepat pukul 2.00 pagi. Seketika, dia terus diulit mimpi…

Hifsham masih lagi di tepi sawah. Pesawah-pesawah tadi masih bekerja keras. Terhibur juga hati Hifsham melihat mereka bergurau sewaktu bekerja. Beberapa wanita ketawa mengekek melihat keletah lelaki berkaca mata besar di atas batas. Seketika, fikiran Hifsham teralih lagi. Kali ini, ingatannya pada pertama kali dia berkunjung ke rumah Wardah. Kehadirannya tidak diketahui gadis perawan itu. Dia ke situ bersama-sama Ramli dan Bakar. Tujuannya, belum lagi diketahuinya. Dia hanya menurut kedua-dua anak muda itu. Hifsham bersedia dengan pelbagai kemungkinan. Ramli dan Bakar juga tidak boleh dipercayai. Selepas subuh, Hifsham sempat berdoa panjang. Dia memohon supaya dirinya sentiasa dilindungi dari malapetaka mahupun kekejaman manusia.

‘ Ish, kemana pula aku dibawa mereka? Rumah siapakah ini?’ gerutu Hifsham di dalam hati. Dia tertanya-tanya, namun tidak pula diutarakan soalan itu kepada mereka. Dia membiarkan sahaja mereka dengan keletah masing-masing. “ Shh.. kita dah sampai bang…”, kata Ramli. Bakar terjenguk-jenguk, memastikan tiada sesiapa di situ. Teratak usang di hadapannya sunyi. Namun, jendela dan pintu terbuka luas. Barangkali seorang sahaja yang tinggal di situ. Yang pasti, langkah itu membawanya ke kunci seterusnya. “ Arghhhh…. !!! Aku bukan pembunuh!!!”, tiba-tiba suara seorang perempuan kedengaran jelas memecahkan keheningan suasana. Hifsham mengerutkan dahi. Manakala, Ramli dan Bakar saling berpandangan, sejurus serentak mereka memandang Hifsham. Mereka menghendap dari semak berdekatan. “ Abang dengar suara tu? Kami syak perempuan itulah yang bunuh keluarga angkat abang”, kata Ramli. Bulat mata Hifsham mendengarkan pengakuan tersebut. Dia melingas ke sekeliling rumah. Mencari-cari kelibat seseorang. Namun, perempuan yang dimaksudkan tidak juga kelihatan.

“ Siapa yang tinggal di sini?”, tanya Hifsham, seperti tidak sabar-sabar lagi.

“ Abang kenal Wardah? Dialah orangnya”, jawab Bakar, sambil jari tangannya menghala ke teratak usang.

Hifsham terpempan dengan jawapan tersebut. Dia mengerutkan dahinya beberapa kali. Dirinya terus kaku bagaikan terpasung, tidak mampu bergerak mahupun mengeluarkan butir kata. Sesungguhnya, sukar bagi dirinya mempercayai bahawa gadis yang polos dan baik hati itu tegar melakukan perbuatan yang tidak sepatutnya. Seketika, kedengaran bunyi barang-barang kaca pecah. Suara tersebut kedengaran lagi. Wardah menjerit-jerit sambil menghentakkan kakinya. Kali ini, mereka- Hifsham, Ramli dan Bakar bergerak ke posisi lain untuk melihat sendiri kelakuan Wardah yang sedang menyinga.

Sah! Perempuan itu Wardah. Namun, Wardah yang disaksikan jauh berbeza daripada gadis kecil molek yang penuh dengan adab dan kesopanannya. Dia sendiri pernah mengenal Wardah. Wardah bukan begitu. Wardah bertudung, bukannya membiarkan rambutnya kusut-masai begitu, Wardah menjaga penampilannya, bukan sebagaimana yang disaksikan, bajunya habis kotor dan basah. Wajahnya terpalit kotoran dan darah, mungkin akibat kaca yang pecah di sekitar ruang teratak.

Sejurus, di tepian bendang, beberapa orang pesawah sudah meninggalkan tugas mereka. Sudah tiba waktunya untuk menunaikan solat Zuhur. Hifsham tersedar dari lamunan panjangnya. Dia masih di tepian sawah. Dia mengubah posisi, terasa lenguh setelah seberapa lama dia duduk di situ. Matanya terus dilemparkan ke sawah padi yang menghijau. Lambat-laun, dia akan merungkaikan kes tersebut. Dia harus menerima Wardah penjenayah yang dikehendaki. Cuma, dia ingin mendapatkan kepastian, dan kepastian tersebut akan berada dalam genggamannya tidak lama lagi. Dia hanya perlu menunggu masa yang sesuai…

Teratak usang, usai dirinya menghitung waktu…

Wardah selesai merawat luka di muka dan tangan. Dia menyimpan semula ubat gamat tersebut di dalam almari berdekatan. Dia memegang semula lukanya. Sejurus, dia menyeringai sakit. Wardah sendiri tidak mengingati perkara yang telah dilakukannya. Perkara yang pasti, semalam dia sedang memasak, apabila secara tiba-tiba Ramli dan Bakar tiba ketika itu. Mereka menuduh dirinya seorang pembunuh! Secara jujur, sukar Wardah menerima gelaran itu. Dia mula tidak senang. Dia pasti, begitu pasti bahawa dia bukan pembunuh. Pembunuh itu orang lain! Dia cuba mempertahankan dirinya. Itulah kali terakhir dia sedar sepenuhnya, sebelum dia terjaga semula pagi ini, melihat luka-luka di tubuhnya.

Wardah mengeluh lagi. Dia semakin tidak mengerti situasi yang dihadapinya. “ Ya Allah, apakah yang tidak kena pada diriku ini? Benarkah aku pembunuh seperti yang mereka perkatakan? Tunjukkanlah aku jalan yang benar…”, rintih Wardah di dalam hati. Beberapa kali dia menelan liur. Tangannya digenggam erat, membentuk penumbuk. “ Ah! Mereka itu bedebah! Aku cuba mempertahankan hak aku! Salahkah itu? Tak akan aku biarkan manusia seperti mereka hidup! Tak mungkin!”, suara lain mula mengganggu. Wardah membeliakkan mata. Kegelisahannya jelas terpamer. Mukanya bengis, mengetap bibir beberapa kali. Perlahan-lahan, dia berjalan ke tempayan yang dipenuhi air hujan. Wardah menakung air di telapak tangannya, lantas menyapu muka sepuas-puasnya. Lantas, dia tersedar. Telapak tangannya diperhatikan seketika. Air mata menitik, tumpah ke atasnya. Sejurus kemudian, dia menangkupkan kedua-dua telapak tangannya ke muka. Bahunya mula terhinggut-hinggut. Hibanya datang lagi…

Rumah tepian sawah, 3.00 petang…

“ Lama abang tak nampak Wardah, ke mana dia pergi?”, Hifsham memulakan perbualannya petang itu. Sakinah di hadapannya, sibuk menuangkan air kopi. “ Entahlah abang. Sakinah pun ada hal nak bincang dengan dia. Hampir dua minggu dia tak datang sini. Selalunya, petang-petang begini, dia mesti datang. Seronok katanya berbual dengan Sakinah. Agaknya dia malu dengan abang, yalah, sejak abang ke sini, jarang benar Kinah berjumpa dengan dia”, balas Sakinah, sibuk pula menggoreng karipap. Hifsham menggaru-garu lehernya yang gatal. Dia hanya tersengih. Tangannya menepis lalat yang cuba hinggap di kopinya. “ Mungkin juga, hahaha… Kinah tak jenguk dia di rumahnya?”, Hifsham bertanya, lantas matanya menangkap karipap yang baru digoreng. Baunya enak sekali. Tambahan pula, panas-panas begitu. “ Dua hari lepas, Kinah ingat nak tengok dia juga, tapi tak sempat pula sebab Kinah ada kelas sampai pukul 6.00 petang. Bila balik, hari dah malam. Bila lagi nak tengok dia?”, balas Sakinah, tanpa meninggalkan pandangan dari melihat karipap yang digoreng.

Hifsham tidak membalas, sekadar mengangguk. Semenjak Sakinah mengikuti kursus Bahasa Inggeris di pekan, masanya banyak dihabiskan dengan menelaah buku-buku. Sakinah mahu betul-betul menguasai Bahasa Inggeris. Kelak, apabila dia berada di universiti, dia akan mudah memahami subjek-subjek yang bakal dipelajarinya. Sejurus kemudian, Hajah Zaiton tiba di muka pintu.

“ Assalamualaikum…”, sapa Hajah Zaiton. Salamnya disambut oleh dua anak muda di ruang dapur rumah. Hajah Zaiton bergegas masuk ke dalam rumah seraya mendapatkan anaknya, Sakinah.

“ Mak pergi mana? Kata sekejap sahaja, lama abang Hifsham tunggu”, kata Sakinah, sejurus terlihat ibu kesayangannya. Seminggu lepas, Hifsham sudah tinggal di rumahnya semula. Kedatangannya pada hari itu sekadar ingin bertanyakan khabar Hajah Zaiton dan anaknya, Sakinah, di samping meneruskan siasatan. “ Kinah, tengok-tengoklah Wardah, kawan kau tu. Risau mak tengok dia tadi. Muka dengan tangannya luka-luka”, lancar sahaja Hajah Zaiton mengeluarkan butir kata. Hifsham tumpang mendengar, namun tidak pula dia bersuara. Sakinah merapati ibunya. Lantas menarik kerusi. “ Kenapa dengan Dah mak? Mak jumpa dia di mana?”, tanya Sakinah, sambil memegang tangan Hajah Zaiton. “ Mak jumpa dia sewaktu berjalan balik tadi. Bila mak tanya, dia tak mahu jawab. Takut-takut sahaja dia tengok mak”, jawab Hajah Zaiton. Sakinah memandang Hifsham, serentak mata mereka berlaga. Sakinah mengeluh. Hifsham menghabiskan sisa kopi di dalam cawan.

“Kinah, ikut abang. Kita pergi rumah Wardah”, kata Hifsham, lantas bangun dari kerusinya. Sakinah mengangguk tanda setuju. Mereka berlalu mendapatkan kereta. Hati Sakinah berdetik, mudah-mudahan Wardah tidak apa-apa….

Teratak usang, masanya telah tiba….


Wardah terduduk di atas lantai. Dirinya dilanda hiba secara tiba-tiba. Dia duduk menutup mukanya. Seketika, sebuah kereta MyVi masuk ke perkarangan. Wardah mengangkat wajahnya. Segera, air matanya dikesat sehingga kering. Dia merenung melalui jendela yang terkuak. Dua wajah yang dikenalinya keluar dari kereta. “ Assalamualaikum, Dah…”, sapa Sakinah, tatkala dia mendekati tangga. Lambat-lambat Wardah menyahut, lantas dia membuka pintu.

“ Masuklah..”, pelawa Wardah. Riak wajahnya menggambarkan kegelisahan. Sakinah merenung sahabatnya, lama. Matanya bengkak dan kusam. Wardah semakin kurus… Benar kata ibunya, banyak luka di tubuh sahabatnya itu. Seketika, Wardah berlalu ke dapur untuk membancuh air. Sakinah dan Hifsham saling berpandangan. Kemudian, Hifsham menggeleng beberapa kali. Mungkin turut merasakan keperitan yang dialami Wardah, gadis impiannya.

“ Maaf mengganggu kau, Wardah. Aku datang ke sini pun nak tanyakan khabar kau”, ujar Sakinah, sambil diperhatikan Hifsham. Wardah hanya terdiam. Air yang siap dituang segera dihidangkan kepada karibnya. Wardah duduk semula. Matanya dilemparkan ke luar jendela. Awan membiru menyenangkan hatinya yang pedih. “ Wardah, saya tidak mahu awak berterusan begini. Apa yang awak lakukan ini salah. Awak tidak sepatutnya bertindak tanpa memikirkan dahulu akibatnya”, Hifsham yang berdiam sedari tadi terus bersuara. Lama sudah dia mahu berkata begitu. Sakinah terpinga-pinga. Apakah yang dimaksudkan Hifsham? Dia mengalihkan pandangannya pada Wardah. Matanya sudah berkaca. Wardah sebak.

Dia terus merenung tajam kepada Hifsham. Matanya mula merah, namun dapat dirasakan air mata yang mengalir laju di pipinya. “ Aku tak bersalah! Mereka yang kejam! Tergamak mereka melanggar adik aku, mereka fikir mereka siapa?!”, balas Wardah, tangannya menuding-nuding ke luar. Sakinah tersentak. “ Negara ini ada undang-undang Wardah. Kau tidak boleh bertindak sesuka hati. Kau harus terima qada’ dan qadar”, Hifsham mula meninggikan suara. Wardah mendengus, tidak berpuas hati. Penumbuk dilepaskan pada dinding. Dia bangun, mula tidak tentu arah. “ Ah! Bedebah! Habis tu nak tunggu sampai bila?! Memang orang macam aku ni selalu ditindas, mentang-mentang mereka berharta! Aku juga punya harta! Tapi, orang tua bedebah tu dah rampas harta aku!!”, kasar suara Wardah. Sakinah dilanda ketakutan. “ Ingat Allah, Dah… bawa mengucap”, hanya itu yang meniti di bibir Sakinah. Dia mula mengerti situasi yang sebenar.

Sakinah mula menjerit-jerit. Kakinya dihentak-hentak ke lantai rumah. Hifsham bertindak dengan cepat. Tangan Wardah dikilas ke belakang. Wardah tersungkur menyembah bumi. Sikap Wardah bagai orang gila. Dia hilang pertimbangan. Bebola matanya merah menyala, seperti mahu menerkam mangsa. Sakinah segera menelefon pihak polis dan hospital. Hifsham harus bertindak kasar dengan Wardah. Dia tidak boleh bertolak ansur lagi. Gadis sepertinya perlu segera menerima hukuman, atau mungkin mendapatkan rawatan selanjutnya. Kemungkinan besar Wardah sakit…

Hospital Desaru, kini ku tahu, kekalutan jiwamu…

Sepasang anak mata merenung ke taman di hadapannya. Dia tersenyum puas. Pantas sahaja dia menggigit jarinya. Seketika, dia menggaru-garu kakinya, lalu dijilat. “ Hahaha, sedap, Irfan nak rasa? Eh, mana boleh..”, wanita itu ketawa lagi. Jari telunjuknya dibengkok-bengkokkan ke hadapan. Beberapa meter di belakangnya, seorang pemuda hanya sedang memerhatikan gerak gerinya. Kemudian, dia berlalu untuk mendapatkan kereta. Tidak sanggup berdiri di situ dengan lebih lama.

Masa pantas berlalu. Wajah Wardah kembali memenuhi ruang mata. Gadis itu memang bernasib malang. Dia begitu sedih mengenangkan keadaan Wardah. Dia hiba. Gadis itu terpaksa mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh dengan onak duri. Hatinya basah kerinduan apabila terkenangkan Wardah yang pernah dikenali sebelum ini. Dia sendiri tidak menyangka, Wardah akan meneruskan kehidupannya di wad psikiatri. Hifsham meraup mukanya beberapa kali. Dia mahu ke kubur Irfan. Semoga roh Irfan dicucuri Allah swt… Seketika, lagu Di Batas Masa berkemundang di corong radio. Kereta pacuan empat roda terus bergerak menyusuri jalanraya. Dia membiarkan lagu dendangan Dato’ Siti berkumandang, di batas masa….

Berat mata memandang,


Berat lagi tanggungan bebanan, perasaan,


Kendatipun sezarah, dosa pahala pastikan dikira…


Bagai terasa keresahan dijiwamu, bagai terdengar suara meruntun kalbu,


Tiada malang, sesaat di bawa pergi,


Tak berharga puja dan puji…


Kala jantungmu, bagai laut bergelombang,


Lemah cengkaman, jejarimu di genggaman,


Betapa sukar untuk kita menerima,


Tiba detik pasti berpisah, di batas masa…


~ TAMAT ~





1 comment:

komori said...

iylni...cpt smbung balik..suspen nih...
eyann_lavenderchamomille