Burhan bahagia kini. Farish seorang sahabat yang paing
memahami dirinya. Kalau orang lain, sibuk pasang kekasih kiri kanan, tapi bagi
Burhan persahabatan yang terjalin antara dirinya dan Farish jauh lebih
bermakna, lebih diredhai, dan lebih membahagiakan. Farish kerap kali datang ke
rumah Burhan pada hujung minggu untuk belajar bersama sama. Kadang-kadang
Farish mengusik keletah Burhan yang cepat melatah dan gagap, tapi Burhan tidak
mengambil hati, kerana dia tahu Farish sekadar bergurau. Lagipun, sebelum ini,
dia sudah terbiasa dimaki dan dibuli jauh lebih teruk daripada itu, inikan pula
gurauan seorang sahabat yang begitu istimewa dalam hidupnya.
“Farish, ke…napa kau… kau pilih aku sebagai sahabat?”,
Burhan bersuara suatu petang di tengah sawah. Mereka bercadang mahu
menghabiskan masa di tengah sawah petang itu, berbual bual kosong. Farish
merenung jauh, tenggelam dalam lamunan melihat keindahan alam ciptaanNya. Dia
menoleh ke arah Burhan, tersengih sengih, lalu menepuk nepuk kepala Burhan. “Sebab
kau baik, kau lain, kau tak ada kawan, aku jadilah kawan kau”.
Burhan hanya tersengih kembali, berpuas hati dengan jawapan
Farish. “Burhan, boleh aku tanya pulak sesuatu pada kau?”, Farish bertanya
sambil mencapai batu batu kecil di hadapannya lalu dibaling ke petak sawah.
“Kau nak tanya…. apa?”
“Kau tahu mak kau ada lelaki lain?”
Burhan terdiam. Dia tersentak, matanya tidak berkedip
memandang wajah Farish yang selamba merenung ke hadapan. Sesekali dia
mengerenyitkan mata menahan pancaran matahari yang akan terbenam lebih kurang
sejam sahaja lagi. Farish melepaskan keluhan berat. “Mana kau tahu Farish? Kau…
kau siasat aku?”, Burhan menopangkan badannya dengan tangan di belakang. Tidak
melepaskan pandangan memandang Farish.
“Kau tahu? Mak kau ada hubungan sulit dengan ayah aku”
Burhan diam. Farish melepaskan satu lagi keluhan berat.
Dicapai sekali lagi batu batu kecil lalu dibiarkan jari jarinya menguli batu
batu kecil itu di tangan.
“ Semalam aku tahu Burhan. Kau tahu? Keluarga aku hancur
Burhan. Mak dan ayah aku dah bercerai. Aku anak tunggal, aku pilih untuk hidup
dengan mak aku. Sebab dah lama aku perasan dengan perangai ayah aku. Balik
tengah tengah malam, mabuk, kadang kadang mak aku jadi mangsa lepas geram, mak
aku kena pukul, pijak, kau cakap sahaja apa yang tak singgah kat badan mak aku”
Farish berhenti, mengambil nafas. Apa yang terbuku di
hatinya, diluahkan dengan perasaan berat hati. Sebagai sahabat, dia mahu Burhan
tahu apa yang dipendam agar beban yang dirasai dapat diringankan. Air mata
bergenang, tapi dia cuba bertenang.
“Dia balik suatu malam, bawa balik perempuan lain. Mak aku
marah, mak aku cuba pertahan hak dia, tapi dia pukul mak aku sampai masuk
hospital. Aku cuba tahan ayah aku, tapi apa sangatlah aku boleh buat, aku
menyesal sebab tak dapat nak tolong mak aku. Dan kau tahu siapa perempuan tu?
Aku yakin itu mak kau”
Farish merenung wajah Burhan lama. Burhan hanya tertunduk
bisu. “Bagaimana… kau.. kau tahu perempuan tu… mak aku Farish? Aku… aku tak
pernah tunjuk gambar atau kenalkan… kenalkan kau pada mak aku”, Burhan cuba
merungkai segala persoalan.
Farish menunduk. Dia menggenggam kuat rambutnya, “Aku yakin
perempuan tu mak kau. Semalam, waktu aku ada di rumah kau, aku ternampak album
gambar dalam bilik kau. Kau di dapur waktu tu, aku curi curi lihat gambar kat
dalam album. Dari situ, aku kenal. Okey, aku minta maaf soal aku selongkar
album kau, tapi, aku betul betul maksudkan apa yang aku cakap. Aku tak tipu kau”.
Burhan memegang bahu Farish. Bergenang air mata di kelopak
mata kiri dan kanan. “Farish… aku minta maaf Farish…. Aku betul betul tak tahu…
Kau nak balas dendam pada aku?” Dikesat hingusnya yang mengalir. Jauh di sudut
hati, dia berharap Farish memaafkan ibunya. Dia sungguh terkilan dengan apa
yang berlaku. Takdir telah membawanya bertemu dengan seorang sahabat yang mulia
peribadi, namun kisah lampau menjerat kejernihan hubungan.
“Astaghfirullah, kau cakap apa ni Burhan. Aku anggap kau
sahabat baik, aku ikhlas berkawan dengan kau. Masalah keluarga lain. Lagipun,
aku dah tak berhubungan dengan ayah aku, lantaklah apa dia nak buat. Cuma, aku
risaukan kau. Ni, lebam lebam ni. Sampai bila?”
Farish menepis tangan Burhan yang menopang di bahunya.
Memang ada kesan lebam di tangan Burhan. Dia tahu apa yang terjadi kepada
Burhan. Banyak kali juga dia mahu menghentikan perangai Puan Saliha, membuat
aduan kepada pihak polis, tapi Burhan selalu bertindak menghalangnya.




