Friday, March 30, 2012

SEBUAH TINTA

Assalamualaikum...

Buat pengunjung blog yang senantiasa dirahmati Allah sekalian... :) Tiada apa untuk dicoretkan melainkan apa yang telah berlaku semenjak ketiadaan diri di dalam blog ini.. Kehidupan yang semakin menghimpit dengan kesibukan dunia menyebabkan kadang-kadang diri ini lelah. Meskipun begitu, saya perlu akur dengan ketetapan yang telah diaturkan dan barangkali Allah mahu menguji seseorang itu, sejauh mana dia mengingati Allah dalam setiap langkah yang diambil. Dan sudilah kiranya saya ingin berkongsi dua ayat daripada surah Al-Isra' ayat 18 dan 19, yang bermaksud :

" Barangsiapa yang menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka kami segerakan baginya di dunia ini apa yang Kami kehendaki bagi orang Kami kehendaki. Kemudian, kami sediakan baginya di akhirat neraka Jahannam, dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir."


" Dan barangsiapa menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh, sedangkan dia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik."

Begitu terkesan dengan dua ayat ini apabila menyedari hakikat bahawa Allah selalu bersama-sama kita dan betapa Allah terlalu menyayangi hambaNya, kerana apa yang dipinta insyaAllah akan diberi tanpa batas dan tanpa mengharapkan balasan. Sungguh, Allah Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Percayalah, sekiranya terdetik di dalam hati mahu melakukan perubahan ke arah kebaikan, Allah akan membimbing setiap langkah yang diambil. Berdoa dan teruslah berusaha.

Hampir tujuh bulan berada di bumi asing banyak mendidik diri ini untuk menjadi lebih matang. Kepekatan jahiliyah yang dahulunya diagungkan terasa makin jijik apabila diingatkan kembali. Walau bagaimanapun, untuk mematahkan nafsu daripada terus bergelumang dalam lumpur jahiliyah tidaklah semudah yang disangka. Kadang-kadang hiba dengan nasib diri, hanyut dalam kehidupan dunia yang hanyalah sebuah pentas permainan. Alhamdulillah, Allah bukakan jalan untuk saya bertemu dengan sahabat yang mahu menerima dan mengajak saya ke arah jalanNya.

Apa yang saya boleh katakan, saya bahagia sekarang, berada dalam titian perjuangan. Kemanisan usaha itu diraih dengan rasa syukur meskipun kadang-kala terpalit rasa sesal, sedih, penat dan macam-macam lagi. Alhamdulillah, sudah tamat menjalani kelas sepanjang berada di University College Cork untuk tahun pertama, kami perlu membuat persiapan bagi summer exam nanti... Semalam, saya mendapat pengisian yang berguna oleh hamba Allah yang baru sahaja pulang dari Palestin. Terkesan dengan pengalaman yang diraih, betapa bersyukur diri ini apabila mengenangkan nasib mereka yang berada di sana. Sedih turut menyelimut hati apabila saudara seumat Islam diperlakukan sebegitu. Apa yang mengharukan, rakyat Palestin selalu bersedia untuk menghadapi syahid. Diri ini bagaikan terpukul, kita bagaimana? Fikirkanlah...

Kill them with love -Boona-

Doakan yang terbaik buat saya di perantauan... Tak sabar menjengah ke Malaysia bulan enam nanti... :)

2 comments:

Muhd Khairullah said...

salam, kak ilyni M khairul nak mintak share ? thanks :)

Tulip Biru said...

Bole... silakan... ^^