Andai Itu Takdirnya… Ku Terima…
Oleh : Nurul Iylni Mohamad Noor
Bayu desa berhembus lembut di petak sawah. Sepasang mata terhibur tatkala melihat unggas terbang bebas membelah ruang atmosfera. Senyuman terukir di bibir, menyingkap seribu makna. Melihat suasana yang begitu indah, hati wanitanya terusik. Dirinya turut bahagia menikmati keindahan alam. Jauh di sudut hati, hanya dirinya yang mengerti perit kehidupan yang dialaminya. Tidak seindah yang disangka. Mujurlah dia tidak mudah rebah menghadapi onak duri yang menjalar di setiap liku-liku perjalanan.
“ Kak Nurul, sibuk?”, suatu suara menyapanya dari belakang.
Nurul Iman tersentak dari lamunan. Nostalgia lama yang bermain di mata, semakin kabur, sejurus hilang dari pandangan. Matanya beralih arah kepada seseorang di hadapannya. Nursyura, manis berkurung hijau memegang sekeping kertas dan sebatang pen di tangan kanan, tersenyum manja. “ Eh, tak adalah. Kak tak sibuk pun. Kenapa dik?”, lembut Iman menyahut adiknya.
“ Adik nak tanya kak Nurul satu soalan, boleh?”
“ Ye adik, apa soalannya. InsyaAllah kak Nurul jawab”, jawab Iman, sejurus melabuhkan punggungnya di hujung katil. Nursyura ikut duduk di tepi kakaknya. Iman tidak pernah jemu mengajar adik-adiknya pada waktu lapang. Masanya sentiasa terbuka untuk mendengar masalah mereka sama ada berkaitan mata pelajaran sekolah, mahupun sekadar luahan perasaan tentang kehidupan mereka yang semakin menghimpit. Nursyura, seorang adik yang paling kompetitif. Dalam ketiga-tiga adiknya yang lain, Nursyura paling menonjol di sekolah. Bukan itu sahaja, wajahnya yang manis dan budi pekertinya yang sopan, sering menjadi bahan bualan pelajar dan guru di sekolahnya. Nurul Iman jua begitu. Kata kawan-kawannya, Nursyura banyak mewarisi sifat Nurul Iman.
Nurul Iman hanya tersenyum apabila mendengar komen sebegitu. Namun, tidak siapa tahu susah dan payah melalui ranjau kehidupan yang nyata mematangkan diri mereka. Nurul Iman bersyukur dikurniakan adik-adik yang memahami keinginannya untuk terus belajar hingga ke menara gading. Sepeninggalannya ke universiti, dia sering berpesan kepada adik-adiknya agar terus belajar memajukan diri agar dapat membela nasib keluarga.
Kehimpitan yang dialami Nurul Iman dan adik-adiknya semakin bertambah sejurus pemergian ayahanda tercinta. Iman tidak dapat menidakkan Qada’ dan Qadar Ilahi, malah, dirinya sentiasa berdoa agar ibu dan ayahnya bahagia bersemayam di sana. Tiap kali dia berdoa, tiap kali jua air matanya tumpah membasahi pipi.
Betapa dia menghargai saat-saat bersama ibu dan ayah. Sungguh dia tidak menyangkal tanpa mereka, mana mungkin dia mampu bertatih dan akhirnya berjalan di atas kaki sendiri. Apabila memikirkan nasib dirinya, Nurul Iman tetap bersyukur, kerana dia masih mempunyai adik-adik yang begitu sayang kepadanya. Jua seseorang yang hadir dalam hidupnya, menambahkan lagi kekuatan untuknya menongkah arus kehidupan.
Ikmal Syafiq… ketulusan hatinya telah sedikit sebanyak menambat hati Nurul Iman. Perkenalan mereka sejak di Tingkatan Tiga, berdiri utuh sehingga sekarang. Persahabatan yang terjalin kerana jawatan yang dimiliki di sekolah, sentiasa mendapat perhatian rakan-rakan sekeliling. Mereka sering diusik apabila berselisih di jalan. Sekali lagi, setiap kali Nurul Iman diusik, dia hanya tersenyum. Bisu seribu kata. Dia tidak mahu terlalu menaruh harapan, kerana Ikmal memiliki segala-galanya yang tidak mampu diraihnya. Apabila fikirannya asyik memikirkan Ikmal, sejurus dia beristighfar, mengembalikan ingatannya pada yang Esa. Ikmal bukan calang-calang orang.
Dia bukan sahaja bijak di sekolah, tetapi juga mempunyai kepimpinan dan keperibadian yang menyenangkan. Namun begitu, hatinya tidak mudah dipancing mana-mana perempuan. Ikmal boleh dikatakan popular di sekolah. Dia mendapat banyak surat cinta daripada peminat misteri. Tetapi, ternyata hanya seseorang yang telah singgah di hatinya, dulu, kini dan selamanya Nurul Iman. Sewaktu di universiti, Ikmal kerap menanyakan khabar Nurul Iman melalui sahabat baiknya yang turut menuntut di universiti yang sama.
Tiap kali Nurul Iman mendapat salam daripada Ikmal, hatinya menguntum mekar. Tidak putus-putus bersyukur kerana dikurniakan seorang lelaki yang begitu mengambil berat dan menerimanya seadanya. Bertahun sudah berlalu, sehingga kini dia sudahpun menjadi tunang Ikmal Syafiq, lelaki yang telah merantai hatinya.
Awalnya, dia agak khuatir kerana dirinya yang serba kekurangan jika dibandingkan dengan kehidupan Ikmal Syafiq yang jauh lebih mewah dan berharta. Benarlah kata pepatah, cinta tidak mengenal sesiapa, Ikmal ternyata begitu ikhlas menyayanginya dan menerima dirinya yang sederhana. Tiap kali Nurul Iman bertanyakan soalan, “ Fiq, kenapa Fiq pilih Iman, sedangkan banyak lagi wanita di luar sana, yang lebih cantik, lebih pandai, lebih berharta dari Iman? Iman nak Fiq tahu, Iman tidaklah secantik mana, tidaklah sepandai mana, tidaklah juga berharta, Iman tiada apa yang Fiq miliki…”
“ Dah ke, Iman? Okay, dengarkan Fiq pula. InsyaAllah, Iman cantik kerana budi dan iman, Iman pandai mngurus rumah, pandai menjaga diri untuk Fiq, itu sudah memadai, Iman tidak berharta, tetapi Fiq tidak memerlukan semua itu. Harta dan pangkat sementara, Iman. Yang penting kita ada ini”, jawab Ikmal, tersenyum manis sambil menghalakan telapak tangannya ke dada. Setiap kali mendengar jawapan Ikmal, Iman pasti tersenyum, anak matanya sengaja dilarikan, malu bertentangan mata. Hatinya berbunga ceria…. Dia yakin Ikmal mampu memimpinnya kelak. InsyaAllah…
************************************************
“ Kak Nurul, abang Fiq di luar. Kak Nurul dah siap ke?”, tanya Nursyura, sejurus menjenguk ke ruang kamar Nurul Iman.
Dilihat kakak kesayangannya membetulkan tudung di hadapan cermin. Nursyura hanya tersenyum. “ Cepatlah kak, abang Fiq cakap dia bagi lima minit saja. Kalau tak keluar lagi, dia balik”, muncul pula adiknya yang seorang lagi, Nurhisyam. Nurul Iman memandang adik-adiknya. Dia sudah bersedia untuk keluar bersama Ikmal hari ini. Perancangannya, mereka mahu membeli cincin untuk majlis perkahwinan. Kemudian, Ikmal mahu membawanya ke rumah bakal ibu mertuanya untuk makan tengah hari. Kesibukan Ikmal semenjak mengambil alih perniagaan ayahnya, menyebabkan mereka jarang berjumpa. Lagipun, itu permintaan Nurul Iman sendiri. Dia tidak mahu kerap berjumpa kerana khuatir fitnah melanda dirinya.
Entah mengapa, semalam Ikmal menelefonnya. Teragak-agak dia mahu mengangkat, kerana nombor itu tidak dikenalinya. Setelah diyakinkan Nursyura, dia menjawab panggilan tersebut.
“ Assalamualaikum…”
“ Waalaikummussalam, Iman….”, jawab satu suara yang amat dikenalinya. Tatkala itu, Nurul Iman tersenyum lagi. Rupa-rupanya, Ikmal menelefonnya dari pejabat. Ikmal menyatakan hasratnya untuk membawa Nurul Iman membeli kedai cincin. Perbualan mereka ringkas, tetapi di hujung perbualan, sempat Ikmal mengusik Nurul Iman,
“ Berdebar hati ni, Iman… Menunggu detik bahagia kita, tunggu ye sayang…”
“ Eh, fiq… Err… Err…, Iman banyak kerja ni, esok jumpa ye, InsyaAllah.. Assalamualaikum…”, lantas Nurul Iman mematikan perbualan. Dia beristighfar beberapa kali. “ Fiq… Fiq…”, hatinya terusik lagi. Aduhai Ikmal…
******************************************
“ Manis ye Iman hari ni… Fiq suka”, ikhlas sekali Ikmal menuturkan kata-kata. Redup matanya memandang Nurul Iman. Sehinggakan wanita disebelahnya tersipu-sipu. “ Sudah sudahlah puji Nurul, Fiq… Terima kasih, biasa-biasa saja ni…”, balas Nurul Iman, tunak memandang ke hadapan. Kereta Kia Spectra meluncur laju di jalan.
“ Ikmal ikhlaslah… Nurul Iman, seindah nama, semanis orangnya”, sekali lagi Ikmal memancing. Kali ini, Nurul Iman hanya mendiamkan diri. Malas melayan Ikmal yang semakin menjadi-jadi. Tidak lama kemudian, Nurul Iman tertidur. Ikmal Syafiq asyik melihat tunangnya yang cukup manis, sehinggakan dia tidak fokus sewaktu memandu.
Gadis itu benar-benar merantai hati lelakinya. Ikmal terpesona dengan keindahan yang terdapat pada diri Nurul Iman, sukar dicari pada pandangannya. Nurul Iman pernah melalui detik kesusahan, dia cekal menghadapi tanpa keluhan. Nurul Iman selayaknya meraih kebahagiaan yang sempurna. Dia mahu menjadi penghapus duka Nurul Iman. InsyaAllah….
Sejurus melalui satu selekoh, Ikmal terkesima! Sedang asyik dia tenggelam dalam lamunan, melihat keindahan wajah tunangnya, tiba-tiba sebuah motosikal muncul di hujung jalan. Ikmal tidak sempat mengelak, lantas melanggar motosikal tersebut. Hentaman yang kuat menyebabkan pemboncengnya tercampak jauh beberapa meter ke hadapan. Berpusing jua kereta Ikmal, akibat menekan brek dengan kuat. Astaghfirullah!! Hampir luruh jantung Ikmal. Mujurlah mereka berdua selamat. Serentak dengan itu, Nurul Iman terjaga, turut terkejut dengan situasi tersebut. “ Ya Allah, selamatkanlah lelaki tersebut… Ya Allah…”, hanya itu yang mampu diucapkan Nurul Iman tatkala Ikmal membawa lelaki yang cedera parah itu berlalu ke hospital… Pertama kali, dia melihat jelas, Ikmal tidak keruan… Semoga tunangnya sabar menghadapi semua ini, ya Allah, tabahkan hatinya…
********************************
Masuk hari ini, sudah dua minggu Ikmal tidak menghubunginya. Nurul Iman cuba memahami keadaan tunangnya, masih dirundung kekeliruan. Rasa bersalah terus-menerus menyelubungi Ikmal.
“ Maaf Encik Ikmal, pendarahan di otak mangsa sangat serius. Kami sudah sedaya upaya mencuba, tapi, Allah lebih menyayanginya, harap Encik Ikmal bersabar…”
Ikmal terus rebah ke lantai, lemah seluruh anggotanya. Tidak tergambar dengan kata-kata, kalau boleh, dia mahu mengembalikan masa itu. Dia mahu mengembalikan waktu semalam. Sekali pun dia tidak langsung menyangka, dia tersepit dalam keadaan yang amat menyesakkan. Tidak putus-putus dia berdoa memohon keampunan Rabbul Izzati, mengharapkan dia hanya bermimpi, perkara itu hanyalah mainan tidurnya.
Sejak itu juga, Ikmal banyak mengurungkan diri di dalam bilik. Dia tidak mahu berjumpa mahupun berhubungan dengan sesiapa. Terus-menerus menyalahkan dirinya yang cuai. Dia betul-betul menyesal. Khilaf dengan perkara yang berlaku. Sehinggakan adakalanya, dia terasa seperti tidak mahu meneruskan hidup. Biar nyawanya diambil agar dia berasa adil terhadap lelaki tersebut.
Nurul Iman hanya mampu menanti. Puas dia memujuk Ikmal, cuba meredakan keadaan. Namun, Iman mengerti, situasi itu terlalu sukar untuk Ikmal menghadapinya, jikalau dia berada di situasi Ikmal, pasti jua dia tewas dengan emosi. Malahan, mungkin lebih tertekan daripada Ikmal. Nurul Iman kerap berteleku di sejadah, mendoakan kesejahteraan Ikmal sekeluarga. Beberapa kali air matanya menitis, mengharapkan keadaan kembali seperti sediakala. Dia tidak mahu melihat Ikmal terus melawan takdir. Ikmal perlu menyedari hakikat yang sebenar. Namun, tidak tegar dia terus mendesak Ikmal kembali seperti sediakala. Ikmal perlu ruang secukupnya. Jauh di sudut hati, Nurul Iman begitu yakin, Ikmal bukanlah pemuda yang mudah goyah dengan ujian Ilahi.
*********************************************
Air sungai yang tenang menggamit hati Nurul Iman. Dingin terasa apabila bayu petang berhembus menggigit tubuhnya. Dia hanya mampu memeluk tubuh. Terasa damai seketika dengan fatamorgana ciptaan Yang Maha Kuasa. Petang itu, Nurul Iman sudah berjanji untuk bertemu dengan Ikmal Syafiq setelah enam bulan lamanya hubungan mereka terpadam seketika kerana kehendakNya.
Nurul Iman, ringkas berjubah hitam dengan motif bunga kuning keemasan, duduk di batu-batu besar yang terdampar sekitar sungai. Sesekali, jari jemarinya asyik bermain dengan air sungai yang deras mengalir ke kuala. Tatkala itu juga, dia mendongak ke langit, memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi, Yang Maha Mengasihi, kerana membuka ruang kepada Ikmal untuk berfikir dengan lebih rasional, walaupun pada hakikatnya, dia percaya Ikmal masih terbayangkan peristiwa hitam tersebut.
“ InsyaAllah, mudah-mudahan dia beransur pulih…”, doa Nurul Iman, terdetik di hati kecilnya.
“Assalamualaikum, Iman….”. Nurul Iman tersedar dari lamunan. Lantas, dia berdiri, namun masih tidak menoleh. Senyuman mula terukir. Perasaannya bercampur baur, antara gembira dan sedih. Gembira kerana dia dapat bersua kembali dengan seseorang yang sudah lama dinantinya. Tetapi juga sedih mengenangkan nasib yang menimpa mereka berdua sehingga terpaksa berjauhan sementara. Air matanya mula bergenang, namun dibiarkan perasaan gembira menguasai diri.
“ Waalaikumussalam…”, jawab Nurul Iman, tersenyum manis melihat pemuda di hadapannya, benar-benar Ikmal Syafiq. Ikmal jua tersenyum, tetapi tidak seceria Nurul Iman. Ada gelodak di jiwanya yang belum terungkap dengan kata-kata. Gusar hatinya terus memaksanya membatukan diri di hadapan tunang kesayangannya. Ikmal mengetap bibir, menahan pedih di hatinya. Nurul Iman menyedari tingkah laku Ikmal, lantas menghampirinya. “ Fiq, ada masalah untuk kita kongsi?”, tanya Iman, lembut.
Ikmal menarik nafas sedalamnya. “ Maafkan Fiq, Iman… Kadang-kadang kita tidak mampu memiliki sesuatu walaupun ianya hampir berada dalam genggaman”, lancar sekali Ikmal memulakan bait bicara. Nurul Iman hanya terdiam, memikirkan kata-kata yang keluar dari mulut Ikmal. Matanya dilemparkan ke sekeliling, sejurus memandang Ikmal kembali. Mata mereka bertautan, Ikmal dicengkam perasaan serba salah. Mulusnya wajahnya, kesetiaan padanya, kehalusan budi pekerti dan kasih sayangnya, mana mungkin dia melupakan gadis bernama Nurul Iman. Namun, keadaan memaksanya bertindak sedemikian, walaupun hakikatnya, dia terpaksa melukakan Nurul Iman. “ Arghhh…. Ya Allah, Kau permudahkanlah urusanku, Kau berikanlah ketabahan buat Nurul Iman, betapa aku menyayanginya Ya Allah… Kau peliharalah dirinya…”, Ikmal terus berdoa jauh di sudut sanubari.
“ Maksud Fiq? Maaf, Iman tidak dapat memahaminya…”, Iman bersuara, memecah kebisuan di antara mereka. “ Mampukah Iman menanti Fiq di sana nanti? Bersama kita meraih bahagia di sana. Bolehkah Nurul Iman? Fiq… Fiq… tidak mampu memiliki Iman di dunia ini, Fiq bukan milik Iman lagi…”, tutur Ikmal, perlahan-lahan, bagaikan berbisik. Nurul Iman mendengar dengan jelas butir kata Ikmal.
Lantas, air mata mulai bergenang di ruang mata. Namun, dia masih berupaya menahan kepedihan yang dirasakan mula menyesakkan dada. “ Fiq mahu memutuskan pertunangan kita? Kenapa? Iman buat salah pada Fiq?”, bertubi-tubi soalan Nurul Iman pada Ikmal. Ikmal hanya tertunduk. Dia memahami kekecewaan yang mula menyelubungi Iman. Dia jua tidak mampu melawan kesedihan. Andai ini takdirnya, Ikmal berserah segalanya pada Yang Esa. Jikalau dia sudah mengetahui itu suratannya, tidak akan dia membenarkan Nurul Iman hadir dalam hidupnya. Tidak sama sekali.
Ikmal terdiam seketika, masih mencari sisa-sisa semangat meneruskan kata-kata. Namun, masih dia membiarkan sepi angin berlalu menyelubungi rahsia antara mereka. Nurul Iman mengesat air matanya. Dia memeluk tubuh, melihat sungai yang terus deras mengalir melalui batu-batu yang terdampar di kanan dan kiri. Hampir dia rebah, tidak mempercayai Ikmal. “Ikmal, kenapa diam?”, soal Nurul Iman, mula hilang sabar. Namun, dia cuba bertenang, beristighfar beberapa kali. “ Iman, jujur Fiq katakan Iman satu-satunya wanita yang masih ada di hati Fiq. Tetapi, Fiq terpaksa melepaskan Iman atas rasa tanggungjawab dan belas kasihan Fiq yang masih tergalas sehingga kini”, jelas Ikmal, satu persatu, mengharapkan Nurul Iman betul-betul memahami dirinya.
“ Maksud Fiq?”
“ Ini… Fiq harap Iman faham… Fiq sentiasa mendoakan kebahagian Iman, maafkan Fiq, Iman… Percayalah, Fiq terpaksa, mungkin bukan jodoh kita Iman, tetapi, Fiq berjanji, hanya Iman yang pertama dan terakhir… Fiq pergi dulu, InsyaAllah… jikalau diberi waktu dan peluang, kita bersua lagi… Assalamualaikum…”, balas Ikmal, sambil menghulurkan sekeping sampul surat kepada Nurul Iman, sejurus dia berlalu meninggalkan Iman yang masih bingung dalam percaturan kata-kata Ikmal. Masih lagi dia kabur dengan penjelasan Ikmal. Yang pasti, dia mulai lemah. Dirasakan tubuhnya tidak sekuat dan secekal dahulu, kehilangan Ikmal jelas terasa.
“ Waalaikumussalam, Ikmal…”, balas Nurul Iman, hanya telinganya yang mendengar. Dia menghantar Ikmal pulang dengan pandangan yang sayu. Berat rasa dia melepaskan Ikmal pergi. Bagaikan semalam dia mengenali Ikmal, kini lelaki tersebut berlalu meninggalkannya. Hatinya benar-benar pedih. Sampul di tangannya tidak terus dibuka. Dia hanya menatap sampul itu dengan linangan air mata. Tanpa di sedari, sampul tersebut hampir basah dengan air mata, betapa berat lara yang ditanggung. “ Ya Allah, kuatkanlah hatiku…”, doa Iman, mendongak ke langit yang terbentang luas. Jelas, kesakitan jelas terpapar di ruang mata.
*****************************************
Assalamualaikum Nurul Iman….Iman,
Fiq jua menderita terpaksa membiarkan Iman pergi… Fiq jua menanggung laranya… Fiq jua merasa kepedihannya… Fiq jua kesal dengan apa yang berlaku… Fiq bersalah Iman, Fiq bersalah. Fiq bersalah bukan sahaja padamu Iman, tetapi jua pada anak-anak kecil ini yang kehilangan bapa mereka. Jua khilaf terhadap isterinya yang sarat mengandung. Iman… minta maaf… Andai Fiq mampu memutarkan masa lampau, mungkin keadaan tidak sebegini… Iman, Fiq khilaf terhadapmu…
Iman,
Fiq yakin, Iman wanita yang pasak dengan keimanan, hanya satu pesanan Fiq, peliharalah keimananmu… peliharalah akhlakmu, Iman… Janganlah kerana Fiq, Iman kecundang dengan emosi, Fiq yakin Iman akan mendapat seseorang yang lebih baik, jauh lebih baik dari Fiq, asalkan Iman sentiasa berdoa, insyaAllah… Usah ditangisi pemergianku, Nurul Iman… Fiq mendoakan kebahagiaan Iman… selalu mendoakan kesejahteraan Iman sekeluarga…
Akhir kata, Iman… kau sentiasa bersemadi di hati, dulu, kini dan selamanya… Salam sejuta kemaafan…
Usai membaca warkah terakhir Ikmal, tika itu jua, air mata Nurul Iman tumpah lagi, betapa terhimpitnya perasaan yang melanda jiwa. Telekungnya basah dengan air mata, sudah berapa lama dia menangis, berteleku di sejadah, dirinya sendiri jua tidak pasti. Emosinya benar-benar terganggu, hancur luluh hatinya mengenangkan dirinya yang hiba. Benar, masa telah meragut kebahagiaannya. Baru sahaja, dia mengimpikan hari-hari yang indah berlalu bersama kenangan yang pahit dalam hidupnya, namun, semuanya bagaikan igauan semalam, tidak dapat digapai meskipun Iman terus menangisi segala yang terjadi.
Iman mendapatkan gambar ibu dan ayahnya. Lantas diciumnya beberapa kali. Sebak di dada tidak tertahan lagi, terus dia memeluk gambar bonda dan ayahanda tercinta, merindui saat-saat lalu… “ Ibu, ayah… Nurul rindu… Temankan Nurul ibu… Nurul tak kuat…”, rintih Iman di dalam hati, tersedu sedan dengan tangisan yang terus menyelubungi diri. Nursyura yang memerhati sejak tadi, terus mendapatkan kakaknya, merangkul erat tubuh kakaknya yang mulai longlai, bila-bila sahaja rebah menyembah bumi….
“ Kak Nurul, sabar, insyaAllah… Syura faham, kak… Allah sedang menduga kita.. Kak, jangan begini… Kak dan Hisyam sajalah harta paling berharga buat Syura, Syura sayangkan kak… Kak Nurul, kak masih ada Syura… masih ada Hisyam…. Kak bukan keseorangan… Syura di sini…”, pujuk Nursyura, turut sebak melihat keadaan Nurul Iman. Iman terus rebah dalam pangkuan adiknya. Dirinya terus diasak kesedihan, meskipun dia sedar, perkara itu terjadi kerana ketentuanNya. Dia harus pasrah… Tatkala itu, dia tersedar, dirinya masih disayangi….
******************************
Ikmal terhibur melihat keletah anak-anaknya, sejurus membiarkan anak-anak kecil itu berlari mengelilinginya. Seketika, anak-anak kecil itu merapatinya. “ Abah, mengantuk, temankan Hakim dengan Husna tidur, boleh?”, rengek anak kecil itu, manja. “ Mari, abah temankan… Tapi, janji dengan abah, tidur pejam mata rapat-rapat, tak nak main-main tahu?”, balas Ikmal, lembut. Hakim dan Husna berlari-lari anak menuju ke bilik tidur. Ikmal hanya menggelengkan kepala. Turut tersenyum.
Namun, jauh di sudut hati, dia masih terkenangkan Nurul Iman. Apakah khabarnya dia? Masih lagi seperti dahulu? Nurul Iman yang cekal dan kental dengan setiap cubaan? Iman, andai kau tahu… Tidak pernah ku lupakan dirimu, setiap hembusan nafasku, kau sentiasa berada dalam ingatan… Biarpun kita terpisah, aku tidak akan melemparmu jauh dari jiwa ini, akan ku terus biarkan namamu terukir di ruang hati ini, tanpa ada sesiapa yang menjadi galang gantinya… Iman, mengertilah… Hanya kau di hati… Untuk selamanya…….
Terlarut aku
Dalam kesendirian
Saat aku menyadari
Tiada lagi dirimu kini
Sampai kapankah
Aku mampu bertahan
Tertatih aku jalani
Semua kisah hidupku ini
Tak akan terganti
Setiap kenangan yang telah terukir
Yang terendap indah
Dan melekat di hati
Akankah berakhir
Semua rasa yang telah tercipta
Didalam benakku
Dan didalam asa-ku
made specially by Tulip Biru... Enjoy it!
No comments:
Post a Comment